DATUK Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada pelakon popular Tamil yang kini bergelar ahli politik, Joseph Vijay Chandrasekhar atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu.
Menerusi kenyataan di Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai hubungan erat dan Anwar teruja untuk bekerjasama dengan Vijay.
Mengulas lanjut mengenai hubungan diplomatik, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai ikatan sejarah, budaya, dan hubungan antara rakyat yang sangat mendalam merentasi generasi.
“Kita sedia untuk bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri yang baharu itu bagi memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay dalam tahun-tahun mendatang bagi manfaat bersama kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar dalam kenyataan itu turut menyentuh mengenai perjalanan karier seni Vijay yang sering membawa watak sebagai pejuang rakyat dalam filem lakonannya sebelum ini.
“Selama bertahun-tahun, peminat setia Vijay menyaksikan aksi dan lakonannya menumpaskan ahli politik korup dan pelbagai watak jahat dalam tempoh tiga jam, biasanya selepas waktu rehat yang singkat.
“Kini, rakyat Tamil Nadu telah memberikan kepercayaan kepada Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana peranan yang pernah dimainkan di skrin perak,” katanya.
Beliau turut memetik istilah ‘Oru Viral Puratchi’ atau “revolusi satu jari” yang kini berada di ambang untuk mencipta sejarah baharu di negeri selatan India itu.


