KEBAJIKAN tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun berada dalam keadaan baik dan dipantau rapi oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan berpengalaman.
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memberi jaminan, ketiga-tiga gajah itu dihantar ke zoo berkenaan, di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa antara Zoo Taiping and Night Safari dan Zoo Tennoji yang dimeterai pada Mei dan Oktober 2022 bagi tempoh 25 tahun.
Menurut kenyataan dikeluarkan MPT, pemantauan berterusan melibatkan aspek kesihatan fizikal, pemakanan, tingkah laku dan persekitaran habitat bagi memastikan tahap kebajikan haiwan berada pada tahap optimum serta mematuhi piawaian antarabangsa.
“Malah, rekod kesihatan terkini menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten bagi ketiga-tiga gajah itu, sekali gus mencerminkan tahap penjagaan dan pemakanan yang baik,” menurut kenyataan MPT hari ini.
Kelat mencatat peningkatan sebanyak 440 kilogram, diikuti Dara 215 kilogram dan Amoi 200 kilogram, yang menunjukkan perkembangan positif dari segi kesihatan dan kebajikan.
Sehubungan itu, MPT memaklumkan akan menyediakan laporan berkala secara mingguan berhubung keadaan tiga gajah berkenaan, berdasarkan maklumat rasmi daripada Zoo Tennoji sebagai langkah ketelusan kepada orang awam.
MPT turut menegaskan akan terus berhubung secara langsung dengan pihak zoo berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa menjadi keutamaan.
“Semua pihak disaran merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan, percanggahan fakta dan persepsi yang tidak tepat berhubung kebajikan Dara, Amoi dan Kelat,” katanya.


