HELAH sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil takaful dan pegawai polis memakan diri seorang peniaga apabila dia kerugian RM882,920 selepas diperdaya kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah.
Mangsa lelaki berusia awal 50-an itu hanya menyedari dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 23 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa mewakili Etika Takaful.
”Individu berkenaan mendakwa nama mangsa telah digunakan untuk membuat tuntutan di Hospital KPJ sebanyak tiga kali. Walaupun mangsa menafikannya, dia diminta untuk membuat laporan secara dalam talian.
”Talian kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa namanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah selepas ‘semakan’ dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Azli berkata, bagi tujuan kononnya membersihkan nama dan membantu siasatan, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun tertentu termasuk akaun baharu yang dibuka atas arahan suspek.
“Mangsa yang percaya kemudian memindahkan wang simpanan daripada akaun ASB, Amanah Saham Wawasan (ASW), Bank Rakyat dan Tabung Haji berjumlah kira-kira RM883,000 ke dalam dua akaun peribadi.
“Suspek turut meminta maklumat perbankan internet mangsa dan mengarahkannya supaya tidak membuat sebarang transaksi atau semakan baki sehingga siasatan selesai,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mula curiga selepas suspek beberapa kali meminta tambahan wang sebelum membuat semakan terhadap baki akaunnya.
“Hasil semakan mendapati wang dalam akaun BSN miliknya berkurang sebanyak RM155,950 manakala akaun RHB pula susut sebanyak RM726,970.
“Siasatan mendapati beberapa transaksi pindahan wang dibuat secara berperingkat ke akaun pihak ketiga antara 29 Mac hingga 4 Mei lalu tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.
Menurut Azli, mangsa turut mendakwa menerima panggilan daripada lima nombor telefon berbeza sepanjang urusan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau institusi kewangan serta tidak menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga.


