POLIS sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Orkid, Bandar Pinggiran Subang, Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit kira-kira jam 12.34 tengah hari.
Menurutnya, pengadu memaklumkan anak perempuannya keluar dari rumah kira-kira jam 7.10 pagi sebelum disedari tidak pulang.
“Remaja yang dilaporkan hilang itu dikenali sebagai Mya Qyasyeh Qyaisara Abdullah.
“Orang hilang (OH) berkenaan berbadan kurus tinggi dengan ketinggian kira-kira 157 sentimeter dan berat 49 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kali terakhir remaja itu dilihat memakai pakaian sekolah iaitu baju putih, kain biru, bertudung putih dan berselipar.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedudukan remaja terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262 bagi membantu siasatan.


