SEORANG peniaga yang sebelum ini dihukum penjara 14 tahun kerana mencederakan bekas isterinya hingga koma, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya menggunakan pelbagai objek dalam dua kejadian berasingan, Mac dan April lalu.
Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya sekitar jam 5 petang, 29 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir di lokasi sama kira-kira jam 9 pagi, 23 April lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda kerana kesalahan dilakukan terhadap pasangan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.
Rosmaini tidak ditawarkan jaminan kerana kini menjalani hukuman sebagai banduan di Penjara Kajang.
Difahamkan, tertuduh turut mempunyai dua lagi kes dipercayai berkaitan kes sama yang akan disebut di Mahkamah Alor Setar pada 14 dan 15 Jun ini.
Pada 4 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap Rosmaini selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma sejak 2021.


