Agrikomoditi sektor strategik negara, perlu lahir generasi baharu tenaga mahir- TPM

TIMBALAN Perdana Datuk Seri Dr.Ahmad Zahidi Hamidi ini menegaskan, sektor agrikomoditi mesti dilihat sebagai sektor strategik negara, bukan sektor lama yang hanya bergantung kepada tenaga fizikal.

Katanya, ia adalah sektor masa depan yang boleh digerakkan dengan teknologi, kemahiran, inovasi dan semangat baharu.

Sehubungan itu beliau berkata, masa depan agrikomoditi negara mesti digerakkan melalui tindakan yang lebih berani dan tersusun.

‘’Kita tidak boleh lagi membiarkan sektor ini bergerak dengan cara lama sedangkan dunia sedang berubah dengan pantas. Kita mesti melahirkan generasi baharu tenaga mahir agrikomoditi melalui TVET Pertanian dan latihan berasaskan industri.

‘’(Tenaga) anak muda yang bukan sahaja tahu mengusahakan tanah, tetapi mahir mengendalikan teknologi, memahami data, mengurus ladang secara moden, menguasai mekanisasi, dan mampu membawa sektor ini ke tahap yang lebih tinggi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Kajang hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, bagi tujuan itu, TVET Pertanian perlu diangkat sebagai agenda besar negara.

‘’ Ia mesti digerakkan secara bersepadu melalui Majlis TVET Negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Saya mahu usaha ini menjadi satu gerakan nasional TVET yang baharu bukan sekadar untuk melahirkan tenaga kerja mahir sahaja.

‘’Tetapi untuk menjana ekonomi negara, memperkukuh keterjaminan makanan, memodenkan sektor agrikomoditi, dan membuka laluan mobiliti sosial yang lebih luas kepada anak muda serta komuniti desa,’’ katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sektor agrikomoditi hari ini sedang berdepan realiti baharu yang jauh lebih mencabar. Persaingan global semakin sengit, piawaian kelestarian semakin ketat, kos operasi dan logistik semakin meningkat.

‘’Rantaian bekalan pula semakin mudah terganggu oleh konflik geopolitik, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Dalam keadaan ini, kita tidak boleh lagi bergerak dengan cara biasa.

’Sektor agrikomoditi tidak boleh hanya bergantung kepada kelebihan tanah, cuaca dan pengalaman lama. Kekuatan masa depan sektor ini bergantung kepada sejauh mana kita berani berubah daripada kaedah tradisional kepada teknologi moden, daripada tenaga kerja biasa kepada tenaga kerja berkemahiran, daripada hasil mentah kepada produk bernilai tambah,’’ katanya.

Kata Ahmad Zahid, kecekapan mesti dipertingkatkan, mekanissi diperlukan, memperkukuhkan amalan ladan baik dan mempercepatkan penggunaan teknologi serta  mesti memastikan lebih ramai anak muda untuk bersama di dalam bidang ini.

‘’Oleh itu perubahan yang kita perlukan bukan hanya perubahan teknologi, tetapi perubahan naratif. Kita mesti mengubah cara rakyat melihat sektor agrikomoditi seperti mana rakyat melihat TVET sebelum ini. Kita mesti mengubah cara anak muda menilai kerjaya dalam bidang ini. Kita mesti mengubah rasa rendah diri menjadi rasa bangga,’’ katanya.

Beliau berkata, inilah titik penting yang membawa kita kepada satu anjakan baharu – daripada persepsi lama 3D kepada aspirasi baharu 3S. Daripada Dangerous, Dirty and Difficult, kepada Skills, Sustainability and Safety.

‘’ Daripada sektor yang dilihat berat dan ketinggalan, kepada sektor yang berkemahiran, lestari, selamat dan mempunyai masa depan yang besar,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img