TINDAKAN seorang pemilik kenderaan persendirian menjadikan van miliknya sebagai pengangkutan sekolah tanpa permit membawa padah apabila disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan di Lebuhraya Perdana, Kulim, pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata,van dipandu wanita berusia 42 tahun itu ditahan penguat kuasa JPJ Cawangan Kulim kira-kira jam 2.39 petang.
“Ketika ditahan, van yang didaftarkan sebagai kenderaan persendirian itu didapati membawa seramai 16 pelajar sekolah.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan melakukan beberapa kesalahan serius termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sah.
“Lebih mengejutkan, kenderaan terbabit dipercayai digunakan sebagai van sekolah haram selain membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, keadaan van yang tidak diselenggara dengan baik turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pelajar yang dibawa.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan persendirian itu digunakan untuk tujuan komersial tanpa sebarang kelulusan atau permit sah,” katanya.
Menurut beliau, van tersebut turut didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan iaitu hanya 12 orang.
Susulan itu, JPJ mengambil tindakan menyita van terbabit sebelum dibawa ke depoh bagi siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kenderaan persendirian bagi tujuan komersial tanpa kebenaran serta memastikan LKM dan insurans sentiasa sah demi keselamatan semua,” katanya.


