KKM pantau rapi perkembangan penularan Hantavirus

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapi perkembangan penularan Hantavirus susulan laporan kes pada peringkat global.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun terdapat laporan bahawa penularan jangkitan itu berpunca dari sebuah kapal persiaran di negara jiran, situasi berkenaan terkawal dan tidak membabitkan rakyat Malaysia.

GAMBAR: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

“KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak itu pada peringkat global serta serantau bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam hantaran melalui Facebook hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, Hantavirus adalah virus bawaan tikus yang boleh menjangkiti manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan itu.

GAMBAR: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

“Jangkitan itu tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus,” kata beliau.

Memandangkan sehingga kini tiada ubat antivirus khusus bagi merawat jangkitan itu, beliau berkata, langkah pencegahan dan kawalan kendiri merupakan perlindungan paling berkesan.

Beliau turut menggesa orang ramai memberi perhatian terhadap kebersihan persekitaran dan memastikan kediaman serta premis kerja bebas daripada haiwan perosak.

GAMBAR: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

“Rakyat tidak perlu panik, namun kita mesti kekal berwaspada,” katanya.

Selain itu, Dr Zulkefly meminta orang ramai merujuk gambar infografik di platform media sosialnya bagi mendapatkan panduan mengenai gejala, cara penularan dan tatacara pembersihan kotoran haiwan yang selamat.

Berdasarkan infografik itu, antara gejala awal jangkitan adalah demam dan menggigil, sakit otot, sakit kepala, serta letih dan lesu, manakala gejala serius termasuk sesak nafas, tekanan darah rendah serta masalah buah pinggang.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan negara Eropah meningkatkan langkah pemantauan serta pengasingan selepas berlaku wabak Hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda, MV Hondius.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img