SEPASANG kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dan mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan dalam kejadian bulan lalu.
Tertuduh, Adam Harith Ahmad, 18, dan teman wanitanya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu pada prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman dan Majistret Uthman Abd Ghani.
Bagi pertuduhan pertama, Adam Harith didakwa menyembunyikan kelahiran dengan membungkus mayat bayi yang meninggal dunia ketika dilahirkan teman wanitanya sebelum meletakkannya di dalam but kereta di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, KM29, Merlimau, Jasin pada jam 11.40 malam, 25 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000, namun peguam Mohd Farid Abdul Aziz merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya pesalah muda dan akan dijamin abangnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, remaja perempuan terbabit pula didakwa mengambil sejenis ubat sebelum kelahiran bayinya dengan niat menghalang bayi berkenaan dilahirkan hidup.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam kira-kira jam 10 pagi pada tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani menawarkan jaminan RM3,000, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin memohon jumlah itu dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga sementara menunggu laporan sosial pada 9 Julai depan.


