SAA Engineering & Marine, SAAEM Sabah tandatangani MoU perkukuh kerjasama industri minyak dan gas

SAA Engineering & Marine Sdn Bhd dan SAAEM Sabah Sdn Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan kerjasama industri minyak dan gas (oil & gas) di negeri Sabah selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi negeri dan agenda pemerkasaan Bumiputera Sabah.

Majlis menandatangani MoU ini menjadi simbol komitmen kedua-dua pihak dalam membina ekosistem industri yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing dengan memberi penekanan kepada penglibatan syarikat tempatan, pembangunan modal insan serta peningkatan penyertaan usahawan Bumiputera Sabah dalam rantaian nilai industri oil & gas.

Kerjasama strategik ini dijangka membuka peluang kolaborasi yang lebih luas dalam pelaksanaan projek-projek berkaitan minyak dan gas, pembinaan keupayaan teknikal, pembangunan tenaga kerja mahir, latihan industri, pemindahan teknologi serta pengukuhan jaringan vendor dan kontraktor tempatan di Sabah.

Penubuhan SAAEM Sabah Sdn Bhd dilihat sebagai satu inisiatif penting dan tepat pada masanya dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah yang menekankan penglibatan lebih besar rakyat tempatan dalam sektor strategik bernilai tinggi.

Sejajar dengan dasar kerajaan negeri Sabah yang memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi berasaskan sumber negeri, peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam sektor tenaga, SAAEM Sabah Sdn Bhd berperanan sebagai pemangkin kepada pengukuhan kapasiti industri tempatan.

Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga dan petroleum berikutan kedudukannya sebagai antara negeri pengeluar minyak dan gas utama negara.

Namun demikian, masih terdapat keperluan untuk memperluaskan penglibatan syarikat tempatan dan tenaga kerja Sabah agar manfaat ekonomi daripada industri ini dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat negeri ini.

Melalui kerjasama ini, SAAEM Sabah Sdn Bhd komited untuk membantu memperkasakan syarikat-syarikat Bumiputera Sabah melalui peluang penyertaan dalam projek industri, pembangunan vendor, kerjasama teknikal dan latihan kemahiran yang mampu meningkatkan daya saing syarikat tempatan sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain itu, inisiatif ini turut diyakini mampu menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan aktiviti ekonomi hiliran, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta pertumbuhan industri sokongan berkaitan oil & gas di Sabah.

Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan Letter of Intent (LOI) antara SAAEM Sabah Sdn Bhd dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Sabah sebagai langkah awal ke arah kerjasama strategik yang lebih menyeluruh dalam memperkukuhkan jaringan perniagaan, memperluaskan peluang perdagangan serta meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera Sabah dalam sektor ekonomi strategik.

Kerjasama bersama DPMM Sabah ini juga dijangka menjadi platform penting dalam menghubungkan pemain industri, usahawan tempatan, institusi latihan dan pelabur strategik bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih progresif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negeri Sabah.

Kedua-dua pihak optimis bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri minyak dan gas Sabah yang lebih mampan, memperkukuhkan ekonomi negeri serta memperluaskan penglibatan syarikat tempatan dan Bumiputera Sabah dalam sektor strategik negara selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan agenda pembangunan ekonomi nasional.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img