DUA warga Singapura maut selepas kereta jenis Ferrari dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi pagi ini.
Kedua-dua mangsa adalah pemandu Yeo Tian Wen, 34, dan penumpang yang dipercayai teman wanitanya, Ng Puay Ying, 33.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9 pagi daripada orang awam.
“Kemalangan membabitkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki terbabit bersama-sama wanita di tempat duduk depan penumpang.
“Kereta itu dipercayai terbabas sendiri lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa cedera parah di badan, terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa yang rentung dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambahnya.


