POLIS menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung isu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, seolah-olah Unit Kereta Peronda (MPV) mengiringi kenderaan terlibat kegiatan mencuri kabel di Ampang,Selangor.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menghargai maklumat yang dikongsikan orang ramai, namun ia sepatutnya disahkan terlebih dahulu sebelum disebarkan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan umum.
“Sebenarnya tiada kontroversi. Anggota MPV yang membuat rondaan melaksanakan tugasnya dan untuk makluman, polis menahan seorang suspek dan siasatan telah dijalankan. Suspek juga dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, serta didenda RM8,000.
“Cuma yang menjadi persoalan apabila melihat kepada sudut-sudut rakaman (CCTV) berkenaan seolah-olah menimbulkan kontroversi,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Shah Alam hari ini.
Shazeli berkata polis sedang mengesan saki baki ahli kumpulan jenayah disyaki turut terlibat dalam kegiatan terbabit, yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin menafikan video tular memaparkan sebuah kenderaan polis melakukan “escort” kenderaan curi kabel di Kampung Tasik Tambahan, Ampang pada Sabtu lepas, yang mengundang pelbagai reaksi warga siber.





