LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggalakkan pembayar cukai sebagai pembeli, untuk memohon e-invois bagi setiap transaksi perbelanjaan yang berkaitan dengan pelepasan cukai individu bermula tahun ini.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pendekatan itu merupakan langkah proaktif ke arah projek rintis pengisian maklumat pelepasan cukai secara praisi yang berasaskan data transaksi e-invois ke dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2026.
“Bagi tujuan mendapatkan e-invois, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual bagi membolehkan e-invois dapat dikeluarkan dengan tepat.
“Antara perbelanjaan yang berpotensi untuk dipraisi adalah pembelian komputer peribadi atau telefon pintar, perbelanjaan berkaitan gaya hidup, insurans dan yuran taman asuhan kanak-kanak, serta kategori pelepasan lain yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Menurut LHDN, penggunaan e-invois bukan saja memudahkan pembeli dalam aspek pengurusan dan penyimpanan rekod, malah semakan juga boleh dilakukan melalui Portal MyInvois bagi setiap transaksi perbelanjaan serta pelepasan cukai.
Pembayar cukai boleh menghubungi LHDN di pejabat LHDN, meja bantuan e-invois LHDN melalui talian 03-8682 8000, MyInvois Live Chat dan e-mel: myinvois@hasil.gov.my bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat lanjut berkaitan e-invois.


