Agong Ketua Negara Malaysia pertama hadir Sambutan Hari Kemenangan di Moscow

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia yang pertama diundang sebagai Tetamu Kehormat ke Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Moscow, Rusia hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, undangan khas daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada baginda itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi kerajaan negara berkenaan terhadap Malaysia serta hubungan baik antara kedua-dua negara.

Baginda turut berkenan menyaksikan perarakan ketenteraan di Dataran Merah bersama Putin serta beberapa pemimpin dunia yang lain.

Mereka termasuk Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenko; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev; Presiden Laos, Thongloun Sisoulith; dan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico.

Hari Kemenangan disambut setiap tahun dengan penuh istiadat di Moscow bagi memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1945, yang turut diiringi perarakan ketenteraan besar-besaran di Dataran Merah.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Moscow sebagai Tetamu Kehormat mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di persada antarabangsa, selain menzahirkan peranan penting institusi Diraja dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa demi manfaat bersama.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img