Polis temui beberapa lagi senjata api, peluru di rumah suspek dalam tahanan

POLIS menemui senjata api, pistol tiruan dan lebih 180 peluru di rumah seorang mekanik yang kini dalam tahanan, kerana memiliki senjata api secara haram di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, semua senjata dan peluru itu ditemukan selepas pihaknya menyerbu kediaman terbabit pada jam 6 petang Rabu lalu, hasil maklumat diberikan suspek berusia 45 tahun itu.

Selain senapang patah jenama Remington Model 1100 dan sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4, polis turut menemui 33 peluru jenis .38 pelbagai jenama, 58 peluru 9mm (milimeter), dua kotak peluru mengandungi 25 peluru jenis 12 bore setiap satu, 22 peluru jenis 5.56 dan 18 peluru blank jenis 5.56.

“Semua senjata dan peluru itu ditemui disembunyikan di bahagian dapur serta di loteng rumah suspek, dengan setakat ini keseluruhan rampasan membabitkan tiga senapang dan empat pistol termasuk dua pistol tiruan.

“Ini rampasan terbesar pernah direkodkan di daerah Baling sepanjang saya bertugas di sini,” katanya pada sidang media di Baling, lapor Buletin TV3.

Pada 1 Mei lalu, suspek dilapor ditahan di bengkel miliknya di Baling selepas memiliki lima senjata api termasuk sepucuk pistol tiruan.

Brandon memaklumkan polis masih menyiasat, termasuk mengenal pasti sekiranya ada individu lain terbabit dalam rangkaian penyeludupan senjata api ini.

Siasatan awal mendapati suspek memperoleh senjata api dan peluru berkenaan sejak awal tahun lalu daripada kenalannya di negara jiran sebelum dibawa masuk melalui sempadan Pengkalan Hulu di Perak.

“Kita belum dapat memastikan sama ada senjata yang dirampas pernah digunakan untuk melepaskan tembakan kerana ujian balistik belum dijalankan.

“Polis memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian pembekalan senjata termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain dalam aktiviti penyeludupan dan pemilikan senjata api secara haram,” katanya.

Suspek kini direman semula sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img