Penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu warga Myanmar di Ketereh

SEORANG penunggang motosikal maut selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta disyaki dipandu lelaki warga Myanmar berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh di Ketereh, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pada jam 4.30 semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima laporan berkaitan kemalangan maut melibatkan motosikal dan sebuah kereta.

Katanya, siasatan awal mendapati, seorang lelaki menunggang motosikal di jalan lurus dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah Perodua Aruz yang dipandu seorang lelaki dipercayai warganegara Myanmar berusia 30-an dari arah bertentangan masuk ke laluan hingga menyebabkan perlanggaran dengan penunggang motosikal itu.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta sedang dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315.

“Polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img