PENGAMAL media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi masyarakat serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, dalam era digital hari ini, media menjadi saluran utama untuk memperluaskan kempen kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan SPRM bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga memberi penekanan kepada pendidikan, pencegahan dan pembudayaan integriti dalam masyarakat.
“Di Sabah khususnya, pelbagai inisiatif pencegahan telah dilaksanakan termasuk program advokasi bersama agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi. Program-program ini menjadi platform penting memperkukuh sinergi antara SPRM, kepimpinan negeri dan media,” katanya ketika merasmikan Program Court Talk: Communicator & Media bersama Pengamal Media Sabah di Pickleball Court, Kompleks Sukan Tun Adnan, Yayasan Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Program yang mengangkat peranan Key Communicator sebagai ejen penyampai maklumat kepada golongan sasar ini telah disertai oleh Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil bersama 25 orang pengamal media terdiri daripada Jabatan Penyiaran Sabah, Daily Express, Utusan Borneo, Borneo Post, Sinar Harian, New Straits Times (NST), Info X, Awani dan Shin Chew Daily.
Mohd Fuad turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas kerjasama strategik dua hala SPRM Sabah dan pengamal media Sabah dalam menyampaikan maklumat sahih berkaitan usaha pencegahan rasuah kepada masyarakat di negeri ini.
Terdahulu, program ini dimulakan dengan Sesi Dialog dikendalikan oleh KPKPs Jasni Gayung dari SPRM Sabah yang menampilkan dua ahli panel iaitu Ketua Cawangan Korporat dan Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Badrila Jamlus dan Presiden SJA, Mariah Doksil.
Sesi dialog selama sejam itu mengupas peranan dan kerjasama dua hala BKS SPRM dan pengamal media Sabah dalam menyebar luas mesej antirasuah selain membincangkan isu, cabaran serta halangan dalam menyalurkan maklumat yang sahih daripada SPRM kepada masyarakat agar lebih konsisten.
Bersempena program itu juga, turut diadakan Pertandingan Pickleball sebagai tanda apresiasi kepada para pengamal media yang hadir bagi memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama strategik SPRM Sabah dan media Sabah.


