SEBUAH bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati beroperasi menggunakan lesen yang sudah tamat tempoh di perairan Selangor, semalam.
Bot itu ditahan kira-kira 1.3 batu nautika barat laut Sungai Puloh pada pukul 3.30 petang ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan Op Ehsan, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun bersama seorang kru lelaki berumur 45 tahun.
“Hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati lesen bot tersebut telah tamat tempoh.
“Bot, nakhoda dan kru kemudiannya dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memperbaharui lesen bot.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan dan tidak memandang ringan soal keselamatan ketika beroperasi di laut.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan pihak berkuasa.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999.


