DUA beradik perempuan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan di Sungai Jeram Hulu, Manir, Kuala Nerus, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Shafiqah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Limbong dan adiknya, Suhaila, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dua lagi rakan mereka masing-masing berusia 12 tahun berjaya diselamatkan orang awam.
Saksi kejadian, Wan Mohamad Naqiuddin Wan Muda, 33, berkata dia bersama seorang lagi penduduk terus terjun ke sungai sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Ketika itu empat kanak-kanak terbabit sedang mandi sebelum seorang dipercayai lemas dan tiga lagi cuba membantu sebelum semuanya dihanyutkan arus.
“Saya sempat capai seorang mangsa dan heret ke kawasan rimba buluh untuk berpaut kira-kira 10 meter dari lokasi dia tenggelam,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan selepas dihanyutkan hampir 100 meter, namun dua beradik itu gagal ditemui dipercayai tenggelam akibat arus deras.
Katanya, kawasan sungai berkenaan jarang dijadikan lokasi mandi ketika air pasang kerana arusnya terlalu laju.
Sementara itu, bapa kepada salah seorang mangsa yang terselamat, Abdul Fatah Md Ghani, 39, berkata dia tidak mengetahui anaknya pergi mandi di sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
“Saya terkejut bila dimaklumkan anak lemas, namun bersyukur dia berjaya diselamatkan penduduk,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa masih diteruskan.


