KETIKA menyampaikan amanat terakhir kepada warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan mereka supaya tidak mensabotaj pengganti beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi itu.
Azam menegaskan, mereka perlu memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu agensi itu dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran Ketua Pesuruhjaya baharu.
“Tolong beri sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) baharu. Biarlah beliau menjalankan tugas dengan lancar. Jangan sabotaj KP baharu kerana jika anda mensabotaj KP baharu, bermakna anda mensabotaj organisasi sendiri.
“Berikanlah sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Khusairi (Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM), dan dua lagi pengurusan tertinggi di sini kerana mereka akan meneruskan legasi kita ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini .
Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya.
Sebelum ini, Azam, telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta dari 12 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.
Diminta mengulas mengenai kenyataan tersebut, Azam ketika ditemui media menegaskan dalam mana-mana organisasi, semua pihak perlu taat kepada pemimpin yang dilantik, walaupun bukan dalam kehendak atau pilihan peribadi.
“Itulah maksudnya, kita mesti beri kerjasama kepada kepimpinan yang baharu kerana ia amat penting. Bila datang kepimpinan baharu, ini yang saya tekankan berdasarkan pengalaman saya dahulu bersama pegawai BPR (Badan Pencegahan Rasuah) dan SPRM.
“Siapa pun yang menjadi ketua, kita akan tetap taat kerana kita berada di sini sebagai pegawai yang berkhidmat untuk rakyat,” ujar beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Azam berkata beliau akan terus berkhidmat dan bekerja selagi tenaga dan khidmatnya diperlukan dalam apa jua kapasiti yang bersesuaian.
Kata beliau, sekiranya tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam, beliau akan memberi tumpuan dalam memanfaatkan keluarga serta masyarakat.
“Seperti yang saya katakan tadi, lelaki ini tetap akan bekerja sehingga masjid panggil untuk dikerandakan. Saya tetap akan bekerja dan berkhidmat kepada rakyat selagi mana tenaga saya diperlukan.
“Saya juga akan cuba membantu apa yang boleh berdasarkan pengalaman saya dalam menegakkan tadbir urus yang baik, integriti dan sebagainya di mana-mana tempat yang memerlukan,” tambahnya.
Dalam masa sama, Azam memaklumkan tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak luar, selain menegaskan tidak akan terlibat dalam dunia politik.
“Tidak, saya tidak menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak luar, jauh sekali untuk menjadi ahli politik,” katanya.


