MALAYSIA hari ini memperkukuh komitmennya dalam meletakkan minyak sawit sebagai pemacu strategik pertumbuhan industri masa depan bersama China menerusi penganjuran Malaysian Palm Oil Forum (MPOF) China 2026 oleh Malaysian Palm Oil Council (MPOC) di Shanghai, China.
Forum yang diterajui oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad itu mengetengahkan peranan minyak sawit Malaysia sebagai input industri bernilai tinggi dan mampan yang menyokong inovasi, pembangunan hiliran serta kerjasama ekonomi jangka panjang antara kedua-dua negara.

Forum tersebut menghimpunkan pemain industri, pengilang, pembeli, pelabur dan persatuan perdagangan dari Malaysia dan China bagi memperkukuh kerjasama merentasi rantaian nilai industri sawit, khususnya dalam pemprosesan hiliran, inovasi, kemampanan dan aplikasi industri.
Bertemakan Malaysian Palm Oil: Supporting High-Value Growth Through Innovation and Partnerships, forum ini menzahirkan aspirasi Malaysia untuk meletakkan minyak sawit melangkaui peranan tradisionalnya sebagai komoditi kepada input industri strategik yang menyokong ekosistem pembuatan bernilai tinggi, pertumbuhan hijau dan kerjasama ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan China.

Dalam ucaptama beliau, Noraini menegaskan bahawa Malaysia dan China mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam industri bernilai tambah, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan sawit yang mampan, berprestasi tinggi dan memenuhi keperluan aplikasi khusus.
Menurut beliau, minyak sawit kini memainkan peranan yang semakin penting dalam pelbagai sektor pertumbuhan tinggi termasuk pembuatan makanan, oleokimia, bahan ramuan khusus, penjagaan diri, penjagaan rumah serta aplikasi industri baharu.
“Minyak sawit kini tidak lagi dilihat semata-mata sebagai komoditi eksport, sebaliknya semakin berkembang sebagai pemacu industri strategik yang menyokong inovasi, pembuatan mampan dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
“Malaysia melihat potensi besar untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China melalui pembangunan hiliran, pemindahan teknologi serta pengembangan industri bernilai tambah berasaskan sawit,” katanya.
Noraini berkata, kerjasama Malaysia-China yang lebih kukuh dalam sektor sawit bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi perdagangan dua hala, malah turut menyokong inovasi industri, rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta pembangunan mampan jangka panjang bagi kedua-dua negara.
Beliau turut menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap amalan pengeluaran mampan menerusi pensijilan mandatori Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang telah dilaksanakan sepenuhnya di seluruh rantaian bekalan minyak sawit negara sejak tahun 2020.
Menurutnya, aspek kemampanan, kebolehkesanan dan pengeluaran secara bertanggungjawab kekal menjadi elemen penting dalam memperkukuh keyakinan global terhadap minyak sawit Malaysia, khususnya dalam memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa yang semakin berkembang.
China kekal sebagai antara pasaran minyak sawit terpenting Malaysia serta penyumbang utama kepada pertumbuhan masa depan industri. Pada tahun 2025, Malaysia mengeksport kira-kira 2.64 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China dengan nilai eksport mencecah sekitar RM10.9 bilion.
Forum tersebut turut mengetengahkan perubahan struktur pasaran minyak dan lemak di China yang kini semakin beralih kepada produk bernilai tinggi, khusus dan berprestasi tinggi. Peralihan ini terus membuka peluang besar kepada minyak sawit Malaysia dalam sektor pembuatan industri, pengeluaran makanan, bahan kimia khusus serta produk pengguna mampan.
MPOF China 2026 turut memperkukuh usaha penglibatan strategik MPOC di China. Pada November 2025, MPOC telah membawa seramai 37 pembeli utama dari China ke Malaysia bagi meningkatkan keyakinan industri menerusi lawatan terus ke ladang, kilang penapisan, fasiliti pembuatan hiliran serta ekosistem kemampanan industri sawit negara.
Melalui platform strategik seperti MPOF, Malaysia terus komited memperkukuh kerjasama perdagangan, memperluas peluang pasaran serta mengukuhkan peranan minyak sawit Malaysia sebagai penyelesaian mampan dan bernilai tinggi yang menyokong fasa baharu pertumbuhan industri dan kerjasama ekonomi Malaysia-China.


