SEORANG remaja lelaki mendakwa dikurung, didera termasuk diliwat oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa remaja berusia 14 tahun itu jam 12 tengah hari semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa dia diajak seorang lelaki yang baru dikenalinya untuk berbual selain menawarkan satu pakej internet telefon bimbit, dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di dalam rumah suspek.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pangsapuri itu, mangsa dilihat berjalan bersama suspek sekitar jam 8.05 pagi.
“Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah suspek, mangsa mendakwa dia telah diikat kaki dan tangan sebelum diliwat oleh suspek.
“Semasa dikurung dan ditinggalkan berseorangan dalam rumah itu, mangsa berjaya membuka ikatan dan menjerit meminta bantuan melalui tingkap bilik rumah sebelum diselamatkan jiran berhampiran yang seterusnya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, mangsa dipercayai dikurung kira-kira tiga jam sebelum berjaya diselamatkan jiran berdekatan.
“Suspek kejadian sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan; Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.


