KERAJAAN dijangka membawa isu laporan dakwaan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke perhatian Jemaah Menteri minggu depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini kerana hanya timbul ketika mesyuarat sedang berlangsung.
“Isu ini berbangkit semasa Jemaah Menteri sedang berjalan dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
“Tetapi sudah pasti akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membuat representasi rasmi kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi membantah sebarang pengampunan terhadap Jho Low.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low dikatakan mengemukakan permohonan pengampunan kepada Trump beberapa minggu lalu.
Laporan itu turut mendakwa sekiranya pengampunan diberikan, Amerika Syarikat berkemungkinan menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan terbabit.


