Dua wanita direman kes kurung rakan, paksa bogel dan samun RM4,200

SEROANG suri rumah antara dua wanita direman enam hari selepas disyaki bersubahat mengurung rakan sendiri sebelum mangsa disamun, dicucuh api dan dipaksa berbogel dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Banang Heights, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 29 dan 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini bagi membantu siasatan sehingga Selasa depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 342 kerana pengurungan salah, Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Menurut sumber, mangsa wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai menerima panggilan daripada salah seorang suspek sebelum diminta datang ke sebuah rumah kira-kira jam 7 pagi semalam.

Sebaik tiba di lokasi, mangsa mendapati terdapat tiga lelaki tidak dikenali berada dalam rumah berkenaan sebelum seorang suspek bertindak menghalangnya keluar.

Mangsa kemudian dipukul dan pergelangan kakinya dicucuh menggunakan pemetik api.

Difahamkan, mangsa turut dipaksa menanggalkan pakaian sebelum salah seorang suspek lelaki merakam video dan gambar wanita itu dalam keadaan bogel.

Suspek turut mengugut mahu mencederakan mangsa menggunakan pisau sekiranya enggan menyerahkan kad bank miliknya.

Akibat ketakutan, mangsa menyerahkan kad berkenaan sebelum suspek mengeluarkan wang RM4,200 dan merampas telefon bimbit wanita itu.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan kedua-dua wanita terbabit malam tadi.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati rakan suspek terhadap mangsa yang didakwa menipu mereka dalam urusan pembelian dadah.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas mengalami kecederaan pada muka dan pergelangan kaki.

Polis kini giat mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai dalang utama kejadian berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img