POLIS menafikan dakwaan kematian seorang anggotanya semasa menjalani sesi latihan kawad tambahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kelmarin membabitkan unsur penganiayaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, berdasarkan laporan bedah siasat dari Hospital Sultan Idris Shah Serdang, punca kematian Allahyarham Koperal Khairil Idzhar Rodzi disahkan akibat penyakit jantung (coronary atherosclerosis).
Menurutnya, kejadian itu berlaku di pekarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira jam 4 petang.
“Penjelasan terperinci mengenai perkara ini telah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sehubungan itu IPD Sepang menyangkal dakwaan tidak berasas yang mengatakan bahawa insiden ini mempunyai unsur penganiayaan.
Bagaimanapun, kata Norhizam, satu jawatankuasa penyiasat tetap ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya.
Tambahnya, jenazah Allahyarham Khairil Idzhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah di Bukit Keteri, Perlis pada jam 11 pagi semalam.
“Allahyarham merupakan anggota berusia 37 tahun bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda,” ujarnya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham.
“Seluruh warga IPD Sepang merakamkan ucapan takziah kepad keluarga atas kehilangan ini,” ujarnya.
Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi beliau menzahirkan kesedihan di atas pemergian Allahyarham Koperal Khairil.
“Allahyarham Koperal Khairil Idzhar telah berkhidmat mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara dan sesungguhnya pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Salam takziah saya titipkan buat keluarga Allahyarham, semoga Allah SWT memberi mereka semua ketabahan menghadapi dugaan ini dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.


