Polis buru pemandu SUV larikan diri selepas rempuh dua beradik sehingga maut

POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) yang merempuh tiga pejalan kaki hingga mengakibatkan dua daripada mereka maut di Jalan Pekan Baru di Klang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu melibatkan sebuah SUV dari arah Jalan Meru ke Bandar Baru Klang yang dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh ketiga-tiga mangsa yang ketika itu berada di bahu kiri jalan.

Sebaik sahaja kejadian itu katanya, pemandu SUV terbabit bertindak melarikan diri.

“Dua wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun yang merupakan adik-beradik disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala seorang lagi iaitu anak lelaki kepada salah seorang mangsa mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Vijaya Rao, polis akan mengambil keterangan mangsa lelaki iaitu pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang cedera dalam kejadian itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-584 3860 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambahnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img