PM lancar Skim PADURI MADANI AIM, beri manfaat 29,000 usahawan wanita baharu

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Skim PADURI MADANI Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan dana berjumlah RM230 juta.

Menurut Perdana Menteri, skim pembiayaan itu bakal memanfaatkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.

DATUK Seri Anwar Ibrahim melawat gerai pameran diusahakan peniaga wanita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Skim PADURI MADANI Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun di Ipoh hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Tahun pertama saya jadi Perdana Menteri, sebelum itu tiada peruntukan (tetapi) saya bagi RM10 juta kemudian (bernilai) ratusan juta.

“Kalau prestasi baik dan manfaat kepada sahabat (AIM) banyak dan banyak bukti, baik insya-Allah kita akan bantu seterusnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian di hadapan 1,000 sahabat AIM ketika merasmikan Majlis Peluncuran Skim PADURI MADANI Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Anwar yang Ahli Parlimen Tambun berkata, pada tahun lalu sebanyak 320,000 sahabat AIM menerima manfaat daripada pembiayaan mikro yang disediakan.

Malah, kata beliau, lebih membanggakan apabila penerima bantuan AIM menjadi usahawan berjaya dalam dunia perniagaan.

“Bagi tahun 2025 yang dapat biaya 320,000 sahabat, ini bukan kecil. Tengok agensi kerajaan dapat (peruntukan) ratusan juta berapa orang boleh bantu.

“Ini patut kementerian kena teliti… agensi (kerajaan) kena belajar juga,” ujarnya.

Skim PADURI MADANI AIM menawarkan pembiayaan bermula dari RM3,000 untuk kali pertama sehingga RM30,000 melalui beberapa kategori antaranya i-Paduri Mesra, i-Paduri Srikandi dan i-Paduri Muda.

Manakala kategori sosial pula, i-Paduri Wibawa, i-Paduri Sejahtera, i-Paduri Bestaru dan i-Paduri Penyayang menawarkan pembiayaan sehingga RM15,000.

Untuk rekod, sejak ditubuhkan 39 tahun lalu, AIM telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM39.1 bilion melibatkan lebih 1.18 juta peminjam dan memberi manfaat kepada 4.39 juta isi rumah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img