PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira sejam menyantuni masyarakat Cina dalam satu majlis minum petang di Chemor, dekat Ipoh petang ini.
Beliau yang tiba kira-kira jam 4 petang, terdahulu berjalan di sekitar lot kedai di pekan Chemor dan beramah mesra dengan orang ramai yang berada di situ.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun kemudian menyertai kira-kira 200 wakil masyarakat Cina di sebuah kedai makan.
Beliau disajikan makanan seperti cekodok, pisang goreng, bengkang serta minuman panas.
Antara yang hadir termasuk ketua kampung, wakil sekolah berhampiran, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Perdana Menteri sempat menandatangani beberapa kain rentang serta plak milik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Lam yang menempa kejayaan dalam pertandingan wushu di China sebelum ini, sebelum bertolak pulang meninggalkan sesi minum petang itu.
Anwar berada di Ipoh dalam rangka lawatan kerja sehari sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55.


