Dua rakan sekerja maut, Honda City terbabas dan terbakar ketika pulang dari makan malam syarikat

PERJALANAN pulang dua rakan sekerja selepas menghadiri majlis makan malam syarikat bertukar tragedi apabila mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Sungai Besi dari arah pusat bandar menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 3.01 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Honda City Hatchback berwarna kelabu yang dipandu lelaki tempatan bersama penumpang wanita yang juga rakan sekerjanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam melibatkan sebuah syarikat perbankan antarabangsa.

“Ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan lalu menyebabkan kenderaan terbakar sepenuhnya.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Cheras membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan,” ujarnya.

Beliau berkata, pemandu mengalami kecederaan rentung terbakar manakala penumpang wanita mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img