TINDAKAN tiga lelaki dipercayai mencuri kabel telekom di kawasan belakang sebuah kelab golf di Brinchang membawa padah apabila mereka dicekup polis dalam operasi, awal pagi semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 41 hingga 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.40 pagi ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands menjalankan Op Tapis di Jalan Griddle, Brinchang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, polis terserempak dengan seorang lelaki sedang mengait kabel telekom, manakala dua lagi lelaki berada berhampiran sebuah Toyota Camry berwarna hitam di tepi jalan.
“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap tiga lelaki terbabit berikutan tindakan mereka yang mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan kenderaan menemukan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain beberapa gulung kabel yang disyaki barang curi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui satu tiub kaca mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2.87 gram.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurutnya, semua suspek bersama barang rampasan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Azri berkata, semakan lanjut mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah serta kesalahan dadah lampau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) di talian 05-4915999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


