BEKAS Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik, Parti Bersama Malaysia.
Simbolik penyerahan parti itu yang akan diterajui Rafizi dan Nik Nazmi selepas ini, dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pandan itu di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Bandar Utama hari ini.
Perkara itu diumumkan pengacara majlis di hadapan lebih 2,000 penyokong yang hadir.
Pengasas dan Presiden parti itu, Tan Gin Theam turut melakukan gimik penyerahan sijil pendaftaran kepada Rafizi dan Nik Nazmi.
Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP) merupakan parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 dan berpusat di Pulau Pinang.
Pengumuman itu sekali gus menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu, berkaitan hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi selepas mereka dilihat agak disisihkan PKR sejak setahun lalu.
Keputusan mengambil alih sebuah parti sedia ada itu dibuat kurang sebulan selepas Rafizi menyatakan beliau sedang mencari jalan terbaik untuk mendesak reformasi, sama ada dari dalam parti mahupun luar.
Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, pada Mei 2025.
Tindakan ini dibuat selepas Rafizi tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti tersebut. Nik Nazmi yang merupakan rakan gandingannya juga gagal mengekalkan jawatan Naib Presiden.
Hubungan Rafizi dengan kepimpinan PKR menjadi dingin selepas pemilihan PKR pada Mei 2025 dan sejak itu beliau bersikap kritikal secara terbuka terhadap kerajaan dan parti.
Sebelum ini, beliau pernah memberi bayangan akan meninggalkan PKR selepas Parlimen dibubarkan untuk mempertahankan kawasan Pandan, malah terselamat daripada usaha menyingkirkannya sebagai Ketua PKR Cabang Pandan semasa mesyuarat agung tahunan cabang itu pada April lalu.
Sementara itu, Gin Theam yang merupakan Presiden Parti Malaysia Bersama pernah bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 menentang Wong Hon Wai daripada DAP-PH dan Andy Yong Kim Seng daripada Gerakan-BN.
Bagaimanapun, beliau hilang deposit selepas hanya memperoleh 339 undi (0.6 peratus), jauh di belakang Hon Wai yang menang besar dengan 50,049 undi (83.8 peratus) manakala Kim Seng memperoleh 9,318 undi (15.6 peratus).
Gin Theam turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih pada pilihan raya sama dan sekali lagi hilang deposit selepas hanya memperoleh 87 undi (0.8 peratus.
Kerusi itu dimenangi oleh Lim Guan Eng daripada DAP-PH dengan 9,362 undi (85.6 peratus), manakala calon MCA-BN, Tang Heap Seng memperoleh 1,404 undi (12.8 peratus.
Seorang lagi calon daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), Manikandan Ramayah memperoleh 83 undi (0.8 peratus).


