Rafizi hadir beri keterangan di SPRM kes pelaburan RM1.1 bilion

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi membantu siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dimeterai kerajaan dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Plc Holdings (ARM).

Beliau tiba kira-kira jam 9.28 pagi dan memaklumkan siasatan itu berkait dakwaan usaha sama kerajaan dengan ARM.

“Saya tiada maklumat lain selain daripada itu dan kita sedia maklum akta SPRM, selepas beri keterangan memang tidak boleh beri sebarang ulasan kepada pihak media.

“Dalam soal siasat pun saya akan masuk sendiri tanpa peguam dan apa-apa maklumat lain sama ada kita tunggu daripada SPRM ataupun daripada peguam-peguam saya,” katanya ketika ditemui media di luar bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sebarang perkembangan lanjut hanya boleh disahkan oleh SPRM atau pasukan peguamnya memandangkan beliau terikat dengan prosedur siasatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan barisan peguam yang akan mewakilinya sekiranya kes berlanjutan ke mahkamah, termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam serta beberapa peguam lain.

Mengulas kemungkinan didakwa, Rafizi berkata, jika itu berlaku beliau bersedia mempertahankan diri di mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor ARM.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilaporkan berkata, bekas Menteri Ekonomi itu dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, rakaman percakapan Rafizi itu adalah susulan pembantunya, James Chai, yang diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img