POLIS Kelantan sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang maut dipercayai dirempuh kenderaan dipandu seorang guru di hadapan surau sekolah pada 12 April lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu dibuat selepas siasatan lengkap dijalankan pihak polis.
“Kita sudah hantar kertas siasatan dan kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Dalam kejadian sebelum ini, seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan terbabas lalu melanggar dua pelajar terbabit.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi menerima rawatan di hospital selepas cedera parah.


