3 warga Korea Selatan didakwa culik rakan senegara, tuntut tebusan RM39.7 juta

TIGA lelaki warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub hari ini, atas pertuduhan menculik seorang lelaki senegara sebelum menuntut wang tebusan sebanyak AS$10 juta (kira-kira RM39.7 juta) dalam kejadian di Genting Highlands, bulan lalu.

Tertuduh, Kwon Kyungryul, Kwak Jaeil dan Kim Myeong Joon bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Korea di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun itu didakwa bertindak bersama-sama melarikan serta menahan secara salah seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 40 tahun di Kilometer 16, Jalan Genting Highlands, Bentong pada 17 April lalu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah AS$10 juta daripada mangsa.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim yang memohon satu tarikh baharu bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam mewakili semua tertuduh.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa kes berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Korea Selatan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img