SEORANG penolong kanan jualan sebuah kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas dua pertuduhan mencuri cincin dan rantai emas milik majikannya bernilai lebih RM8,000.
Tertuduh, Muhammad Zuhairi Khasful Anuar, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mencuri sebentuk cincin emas seberat 5.51 gram dan seutas rantai emas seberat 6.48 gram dengan nilai keseluruhan RM8,154.80.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 April dan 7 Mei lalu di sebuah kedai emas di AEON Mall Nilai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin yang memohon tiada jaminan diberikan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh akan dijamin ibunya yang merupakan suri rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan beserta laporan forensik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).


