Empat remaja ditahan elak bayar tambang, cederakan pemandu e-hailing

POLIS menahan empat remaja termasuk dua perempuan bagi membantu siasatan kes seorang pemandu e-hailing wanita selepas tidak membayar tambang perjalanan mereka di Kuala Sungai Baru, awal bulan ini.

Kesemua suspek iaitu dua remaja perempuan berusia 14 tahun dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 Mei lalu, mangsa mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan selain dijerut di leher selepas diserang kumpulan remaja terbabit.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di Bukit Rambai untuk menghantar mereka ke pekan Kuala Sungai Baru.

“Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu menunggu seseorang memasukkan wang ke akaunnya secara dalam talian.

“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga sebelum bertindak merakam keadaan menggunakan telefon bimbit sebelum kesemua suspek masuk semula ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Ahmad berkata, keadaan kemudian bertukar cemas apabila tiga suspek bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan objek keras serta menjerut leher wanita itu menggunakan kain dari bahagian belakang tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 15 tahun melarikan diri dari lokasi kejadian.

Katanya, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari kawasan itu sebelum membuat laporan polis dan menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada hidung, leher serta kedua-dua tangan.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img