Rejim Israel pintas beberapa lagi kapal GSF berhampiran perairan Cyprus

TENTERA laut rejim Israel memintas beberapa lagi kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus semalam.

Menurut kemas kini dalam aplikasi Telegram rasmi Sumud Nusantara, kapal yang dipintas terbabit dalam misi memecahkan sekatan laut ke atas Gaza.

TANGKAP layar siaran langsung video aktivis GSF 2.0 memaparkan seorang tentera rejim Israel cuba memadamkan rakaman video salah sebuah kapal misi yang ditawan di perairan Cyprus semalam

Misi flotilla itu bertujuan menarik perhatian dunia terhadap keadaan hidup rakyat Palestin yang semakin meruncing di wilayah itu.

Wilayah berkenaan kini dilaporkan musnah akibat perang yang berpanjangan.

Siaran langsung aktivis menunjukkan mereka memakai jaket keselamatan dan mengangkat tangan ketika bot mereka dihampiri bot tentera Israel.

Apabila tentera Israel menaiki kapal terbabit, siaran langsung itu terputus secara tiba-tiba.

Rakaman lain menunjukkan tentera rejim Israel menaiki bot tentera berkelajuan tinggi (RIB) sambil mengarahkan aktivis bergerak ke bahagian hadapan kapal.

Setakat jam 9 pagi (waktu Malaysia) sekurang-kurangnya 36 kapal sudah dipintas dalam operasi tersebut.

Pintasan itu berlaku jauh di luar perairan wilayah Cyprus yang meliputi sejauh 22 kilometer dari garis pantai pulau tersebut. Ia berlaku kira-kira 167 kilometer dari pesisir pantai, menurut pusat kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) negara itu.

Agensi itu mendakwa mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan dari kawasan berkenaan ekoran gangguan isyarat radio yang dilakukan oleh tentera rejim ke atas flotilla tersebut.

Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides turut menyatakan Israel tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa Cyprus mengenai hasrat mereka untuk memintas flotilla berkenaan.

Penganjur berkata kapal-kapal itu dipintas kira-kira 250 batu nautika atau 463 kilometer dari pantai Gaza. Tidak seperti pintasan sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan pada waktu malam, tentera Israel kali ini menaiki kapal pada waktu siang.

Satu laporan daripada The Cradle Media dan New York Post menyatakan Perdana Menteri IsraeI, Benjamin Netanyahu turut sama ‘turun padang’ ke Pusat Operasi Ketenteraan Kirya, Tel Aviv untuk memantau gerak kerja tentera rejim dalam operasi itu, meskipun sepatutnya dia perlu hadir ke mahkamah untuk sebutan kes salah laku rasuah yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Itali memaklumkan Menteri Luarnya, Antonio Tajani berulang kali meminta jaminan daripada Israel mengenai keselamatan dan kebajikan aktivis Itali yang ditahan di atas flotilla itu.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares berkata, beliau semalam memanggil wakil diplomatik Israel di Madrid berhubung apa yang disifatkannya sebagai satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berlaku 15 hari selepas insiden pemintasan terdahulu.

Beliau menganggarkan terdapat sekitar 45 rakyat Sepanyol menyertai flotila itu dan kira-kira 20 orang kini ditahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img