CUBAAN meraikan ulang tahun keenam sebuah kedai pakaian dengan aksi promosi ekstrem di tengah ibu kota berakhir dengan penahanan 15 individu selepas video mereka tular membakar suar di atas sebuah pikap di Bukit Bintang, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kejadian tular.
Menurutnya, tangkapan dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam di beberapa lokasi termasuk Batu Caves, Kajang, Shah Alam dan Dengkil.
“Hasil siasatan mendapati mereka melakukan penggambaran itu bagi mempromosikan jualan pakaian sempena ulang tahun keenam kedai milik salah seorang suspek berusia 24 tahun.
“Turut ditahan adalah pekerja kedai serta lapan individu yang diupah untuk menjayakan aksi promosi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
Beliau berkata, individu yang diupah menerima bayaran antara RM50 hingga RM700 untuk melakukan aksi tersebut.
Menurutnya, wanita berusia 24 tahun yang ditahan pula dipercayai bertindak sebagai koordinator ketika sesi penggambaran berlangsung.
Sazalee berkata, polis turut merampas dua motosikal jenis scrambler yang digunakan dalam aksi terbabit dan mendapati motosikal itu diimport dari luar negara serta hanya untuk kegunaan off-road kerana tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan jalan raya.
“Kereta jenis Ford Raptor yang digunakan pula disewa oleh pemilik kedai dan dipercayai milik salah seorang suspek yang turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pemilik motosikal itu juga akan dikenakan tindakan saman dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun serta didenda RM10,000,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis memburu sekumpulan individu selepas video berdurasi enam hingga 10 minit tular di media sosial memaparkan tujuh hingga lapan lelaki melakukan aksi berbahaya termasuk membakar suar di atas sebuah pikap serta dua motosikal scrambler di tengah jalan sekitar Bukit Bintang.


