MAHKAMAH Sesyen Kangar hari ini melepaskan dan membebaskan anak bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 37, daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000 tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir proses pendakwaan.
Nu’aman ketika membacakan penghakimannya berkata, tugas mahkamah di akhir pendakwaan adalah untuk menentukan sama ada kes prima facie berjaya dibuktikan atau sebaliknya.
Beliau berkata, terdapat dua isu utama yang dinilai mahkamah sepanjang perbicaraan iaitu membabitkan keterangan dan pengesahan saksi terhadap bahan bukti kes, serta penentuan sama ada orang kena tuduh (OKT) adalah seorang ejen.
“Oleh yang demikian, setelah meneliti keterangan saksi-saksi, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan.
“Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob berkata, keputusan hari ini, menamatkan perjuangan anak guamnya selama dua tahun bagi membersihkan nama baiknya dan keluarga.
“Pembebasan ini, sekali gus membersihkan nama keluarga beliau serta nama mantan Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli) yang terjejas sebelum ini.
“Kami amat bersyukur kerana selepas 11 saksi pendakwaan memberi keterangan yang meyakinkan, mahkamah telah mempertimbangkan semua fakta dan isu perundangan secara teliti sebelum memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Syafeeq,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bagi semakan terhadap keputusan kes berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan sebelum ini, Mohd Syafeeq didakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu membabitkan Pesanan Bekalan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Perlis dengan niat untuk memperdayakan jumlah tuntutan bernilai RM19,505.10 pada 14 Februari 2024.


