MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentangan itu memberi gambaran yang lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri.
‘’Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Anwar yang mempengerusikan Mesyuarat MTEN tersebut berkata, ketika ini, kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.
‘’ Sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan,’’ katanya.
Beliau berkata, MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.
‘’Kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,’’ katanya.
Anwar berkata, libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara.


