SEORANG pesara kerajaan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke lorong tengah sebelum digilis sebuah lori pasir di Kilometer 6 Jalan Banting-Dengkil, Kuala Langat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha 135LC dan lori pasir jenis Nissan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an dari Olak Lempit sedang menunggang motosikal menghala ke pekan Banting.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke lorong tengah.
“Pada masa sama, sebuah lori jenis Nissan yang berada di lorong berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan motosikal Yamaha 135LC terbabit,” katanya.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu lori berusia lingkungan 50-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mazrol Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 bagi membantu siasatan,” katanya.


