SEORANG kerani wanita dan ejen pelancongan dihukum penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan undang-undang.
Tertuduh, Sharifah Mahani Saidseh, 39, dan Feaddie Yap Tong Nei, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM11,500 terhadap Sharifah Mahani atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Feaddie pula dihukum penjara dua hari dan denda RM15,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung selama dua tahun bermula tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, Sharifah Mahani yang bekerja sebagai kerani didakwa memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di bawah pengaruh alkohol di Jalan Sim Hua Seng kira-kira jam 1.30 pagi pada 26 April lalu.
Hasil ujian darah mendapati kandungan alkohol dalam badannya mencecah 142 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had dibenarkan sebanyak 50mg bagi setiap 100ml darah.
Feaddie pula didakwa memandu kereta Audi A4 di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuhara kira-kira jam 1.10 pagi pada 16 Mei lalu.
Ujian darah mendapati kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 85mg bagi setiap 100ml darah.
Feaddie diwakili peguam Jhasseny P Kang manakala Sharifah Mahani tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee.


