TAKTIK seorang pemandu lori ais mengisi diesel di empat stesen minyak berbeza disyaki menyeludup bahan api itu terbongkar selepas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di sebuah stesen minyak di Lagenda Height, Sungai Petani, semalam.
Dalam serbuan jam 11 pagi itu, pihak berkuasa menahan lelaki warga emas berusia 61 tahun sebelum menemui sebuah tong berkapasiti 1,000 liter yang dipenuhi cecair disyaki diesel.
KPDN Kedah dalam kenyataan berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan intipan selama dua minggu terhadap suspek.
“Hasil siasatan awal mendapati minyak dalam tong berkenaan dibeli di empat stesen minyak sekitar daerah Sungai Petani.
“Kesemua barangan yang ditemui ketika serbuan disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM38,005,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa permit menyimpan.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
KPDN Kedah turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau sindiket supaya tidak menyeleweng subsidi negara yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
Sebarang maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh disalurkan melalui WhatsApp KPDN di talian 019-8488000, aplikasi EZ ADU KPDN, talian hotline 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN.


