POLIS mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui dalam kes kematian seorang pegawai kanan polis yang dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan di Seksyen 14, Shah Alam, awal pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu diklasifikasikan sebagai kemalangan dan bukan membabitkan unsur jenayah seperti didakwa segelintir pihak.
“Setakat ini kita percaya ia merupakan satu kemalangan dan tidak ada unsur-unsur jenayah.
“Bedah siasat juga sudah selesai semalam dan Allahyarham selamat dikebumikan malam tadi di kampung halamannya di Kuantan, Pahang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, polis turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak benar yang boleh mengaibkan mangsa serta keluarganya.
“Sekiranya spekulasi itu tidak benar dan berbaur fitnah, laporan boleh dibuat dan tindakan siasatan akan dijalankan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis berusia 42 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Seksyen 14, Shah Alam.


