Sindiket ‘Piau-Piau’ tumpas, polis rampas vape dadah RM88,725

KEGIATAN sindiket pengedaran dadah menggunakan rokok elektronik atau vape dikenali sebagai ‘Piau-Piau’ terbongkar selepas polis menahan dua pengedar termasuk seorang wanita dalam dua serbuan di Seberang Perai Utara, Butterworth, kelmarin.

Dalam operasi dijalankan antara jam 9 pagi hingga 6 petang itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ketamin dan Pil Erimin 5 dianggarkan bernilai RM88,725.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang.

Menurutnya, operasi itu berjaya menahan dua warga tempatan berusia 36 dan 42 tahun yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak Mac lalu.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di kawasan parkir kenderaan sebelum pemeriksaan menemui dadah.

“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah kediaman berhampiran dan penahanan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kediaman itu menemui 123 katrij vape mengandungi cecair syabu seberat 1,348.36 gram.

“Polis turut merampas 11 paket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 396 gram, tiga paket ketamin seberat 2.55 gram serta 70 biji pil Erimin 5.

“Turut dirampas lima alat peranti elektronik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya.

Azizee berkata, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah manakala semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM1,069 dan dua kereta bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, sehingga Mei tahun ini, polis Pulau Pinang berjaya membuat 207 tangkapan membabitkan 115 kes berkaitan vape dadah.

Beliau berkata, JSJN turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Farmasi bagi membanteras penyalahgunaan dadah menggunakan kaedah vape.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img