Sindiket tawaran kerja sambilan tumpas, 14 ditahan di Setia Alam

POLIS Selangor menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan yang menyasarkan warga Iraq menerusi serbuan di sebuah rumah di Setia Alam, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, polis menahan 14 lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan 13 warga asing berusia antara 19 hingga 41 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan penipuan sejak Februari lalu.

“Hasil serbuan, polis merampas 20 unit telefon bimbit, 12 unit set komputer, dua kenderaan dan satu unit penghala WiFi.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM132,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, semua suspek dipercayai berperanan sebagai operator yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian kepada warga Iraq.

Menurutnya, tawaran pekerjaan itu dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram serta laman sesawang bagi memperdaya mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 20 Mei hingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img