SEORANG pelajar lelaki tingkatan lima mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan mencederakan seorang murid lelaki tahun empat dengan menendang muka mangsa hingga menyebabkan rahangnya patah, Jumaat lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass selepas pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Dia mengaku bersalah menendang rahang mangsa berusia 10 tahun hingga cedera di sebuah taman permainan di Tongkang Pechah, dekat Batu Pahat pada jam 9 malam, 15 Mei lalu.
Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa pulang ke rumah sebelum mengadu dipukul oleh tertuduh. Ibu mangsa kemudian membawanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), dan pemeriksaan mendapati rahang kanak-kanak itu patah.
Siasatan polis mendapati sebelum kejadian, mangsa menyandarkan basikal miliknya di sebuah pondok berhampiran tertuduh. Bagaimanapun, basikal berkenaan terbalik dan terkena kaki tertuduh menyebabkan dia menendang mangsa hingga terjatuh dengan mulut berdarah.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Hasniza Che Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula bagi laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta fakta dan perintah terhadap tertuduh.
Sementara menunggu tarikh sebutan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500.


