Lelaki warga emas didakwa memandu melulu sebabkan kematian dua beradik

SEORANG pesara warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dua beradik minggu lalu.

Ang Kim Lai, 75, didakwa memandu sebuah kenderaan secara melulu sehingga mengakibatkan kematian Wong Nyok Sim, 61, dan Wong Nyoke Fong, 56.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 7.30 malam di Jalan Pekan Baru, Klang pada 15 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta penggantungan lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Kim Lai membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Khartiyayini.

Berdasarkan keterangan jurubahasa, tertuduh memaklumkan bahawa dia memahami pertuduhan, hukuman diperuntukkan undang-undang serta implikasi pengakuannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli memohon jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.

“Mahkamah wajar menetapkan jumlah jaminan tinggi memandangkan kes ini serius,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Tong Kuan Ling yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menghidap diabetes dan darah tinggi selain memerlukan rawatan berkala.

Katanya, menantu tertuduh yang bekerja di restoran dengan pendapatan RM3,500 sebulan akan membayar wang jaminan.

“Menantu tertuduh memaklumkan tertuduh akan tinggal bersamanya selepas ini dan akan memastikan kehadirannya ke mahkamah bagi semua prosiding akan datang,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan lesen memandunya digantung.

Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Selepas prosiding, Tong memaklumkan wang jaminan akan dibayar hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dilaporkan berkata, sebuah SUV dipercayai melanggar tiga pejalan kaki di Jalan Pekan Baru sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Suspek kemudian ditahan di restorannya dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah atau kesalahan narkotik lampau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img