Tindakan ADUN Bersatu NS  tarik SD tak hormati semangat setiakawan- Hadi

PAS menyifatkan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu di Negeri Sembilan menarik semula Akuan Bersumpah (SD) terhadap pembentukan kerajaan negeri sebagai tidak menghormati semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pas, Tan Sri  Abdul Hadi Awang berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah pun menghantar surat kepada Bersatu bagi menyatakan bantahan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

“Jadi kita (Pas) ada tiga (ADUN), Bersatu ada dua, UMNO ada 14. Cukup (majoriti mudah) 19 (kerusi untuk membentuk kerajaan) dan tiba-tiba Bersatu tarik SD, itu dibatalkan (gabungan di Negeri Sembilan).

“Kita anggap ini satu langkah yang melanggar  setia kawan antara kita dengan alasan-alasan tak boleh diterima, sebab UMNO  pun tak tarik, mengapa Bersatu tarik?” persoalnya pada sidang media di kediamannya di Rusila, hari ini.

Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

 BN sempat mengumumkan memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dengan sokongan PN yang terdiri daripada tiga ADUN Pas dan dua ADUN Bersatu. Bagaimanapun dua ADUN itu, Ridzuan Ahmad (Gemas) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) mengambil pendirian berkecuali berhubung tindakan ADUN UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, tindakan dilakukan wakil Bersatu tersebut bukan kali pertama pernah dibuat oleh Bersatu dan ia dilihat telah menjejaskan semangat kerjasama dalam PN.

“Sebelum ini, mereka (Bersatu) telah bertindak di Perlis dengan menyokong usul tidak percaya terhadap Menteri Besar kita di Perlis. Walaupun mereka bertindak begitu, kita telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka dan kita masih bersabar demi keutuhan PN.

“Apabila perkara ini berlaku lagi, kita akan mengkaji dan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya. Apabila mereka tidak menghormati Perikatan Nasional, apa lagi yang boleh kita katakan?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas cadangan sesetengah pihak yang mahu merombak pentadbiran di Kedah dan Kelantan termasuk kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Abdul Hadi menegaskan, PAS menolak sebarang rombakan tanpa sebab kukuh memandangkan semua individu dilantik sedang melaksanakan tugas dengan baik.

“Bagi kita, kita melihat kepada prestasi individu tersebut. Mereka telah melaksanakan tugas dengan baik, maka tidak perlu ada sebarang perombakan atau penyingkiran. Tindakan sedemikian tidak ada dalam pendekatan parti kita melainkan jika ada sebab dan alasan yang kukuh,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img