SEORANG pengarah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan menjadi anggota Geng 24.
Tertuduh, Khairil Nizam Ghazlan, 45, membuat pengakuan itu dan memohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjadi anggota bagi satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 24.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Lorong Seri Juru, Simpang Ampat, dekat Bukit Mertajam pada jam 4.30 petang, 16 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad.
Majistret Nurul Rasyidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 20 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes.


